TENOM : Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kejadian kemalangan di Batu 8 Kg Sapong Jalan Tenom Kemabong, di sini hari ini.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, mangsa merupakan pemandu Perodua Kembara tersebut berumur 66 tahun berjaya dikeluarkan pihak bomba namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, seorang wanita penumpang kenderaan itu berumur 71 tahun cedera parah manakala pemandu lori terbabit berumur 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa cedera parah tersebut telah di hantar ke Hospital Tenom menggunakan Ambulans KKM sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 11.57 pagi tadi.
“Mangsa meninggal dunia diserahkan kepada Pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mudi berkata, pihak bomba Tenom dengan kekuatan lima anggota diketuai oleh Komander Operasi Shahril Sulaiman.
“Selepas memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan pada kira-kira jam 1.17 tengahari ini,” jelas Mudi.