KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Parti WARISAN (WARISAN) kecewa kerana kerajaan Persekutuan tidak menumpukan kepada pembangunan khusus di wilayah Borneo dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, pengabaian kepada pembangunan khusus wilayah Borneo bukan hanya berlaku dalam RMK13, malah, sudah 12 kali sejak Rancangan Malaysia dibentang.
Ketua Wirawati WARISAN itu menggesa kerajaan Persekutuan supaya menumpukan pembangunan di wilayah itu, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Lihat sahaja dalam dokumen RMK13 ini, daripada empat tunggak yang disenarai, tiada satu pun menyentuh kemakmuran wilayah Borneo secara khusus.
“Saya tidak dapat sorok perasaan kecewa kerana, setelah 12 kali pembentangan Rancangan Malaysia, kerajaan belum menumpukan pembangunan secara khusus di wilayah ini.
“Sudah tiba masa kita mengalihkan tumpuan ke Wilayah Borneo. Potensi di sana cukup besar dan diakui, namun ia tidak selari dengan perancangan kerajaan rangka,” katanya semasa membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
RMK-13 adalah pelan pembangunan nasional Malaysia lima tahun (2026 hingga 2030) yang dirangka di bawah kerangka Ekonomi MADANI bertujuan membina ekonomi berdaya saing, mampan, inklusif, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jumlah perbelanjaan RMK-13 adalah sekitar RM1.39 trilion menyaksikan RM430 bilion diperuntukkan untuk belanja pembangunan dan RM960 bilion untuk belanja mengurus.
Selain itu, Isnaraissah mempersoal jika negara muflis sekiranya kerajaan menyalurkan separuh daripada peruntukan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.
“Adakah negara akan bankrap sekiranya kerajaan membuat keputusan agar separuh daripada peruntukan disalur untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak untuk tempoh lima tahun ke hadapan?
“Hanya untuk kali ini, lima tahun ini sahaja, kenapa tidak boleh pertimbang?,” soalnya.
