Saya bukan anti Majlis Daerah Semporna -Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal memberitahu, beliau bukan tidak suka atau anti kepada Majlis Daerah Semporna (MDS) meskipun dalam beberapa ucapan politiknya memetik nama pihak berkuasa tempatan itu tentang isu kebersihan.

Presiden WARISAN merangkap Ahli Parlimen Semporna itu berkata, isu timbul melihat kepada hubungan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pentadbiran dan pengurusan MDS serta pejabat daerah selain cara layanan mereka terhadap beliau sebagai pembangkang di daerah itu.

“Saya bukan anti majlis daerah. Sudah lima kali saya hubungi pegawai daerah (DO) tetapi tidak menyambut panggilan. Majlis daerah seperti yang saya maklum, bersihkan Semporna, malu kita, saya ini ahli Parlimen.

“Sejak pentadbiran si Musa (Tun Musa Aman), sudah berapa ramai pegawai daerah ditukar? Jika ada pegawai daerah yang rapat saya panggil ke rumah, kena tukar pula. Sistem apa ini?

“Kadang-kadang, dalam sistem pentadbiran apabila sudah ada wakil rakyat di situ hormatilah sama ada pembangkang atau kerajaan sebab dia suara rakyat, yang mengundi di Semporna ini rakyat Semporna. Kenapa pula pegawai daerah Semporna tidak ikut arahan YB Semporna?,” katanya kepada wartawan Sabah News Today semalam.

Beliau berkata demikian selepas pemberita bertanya beliau sering menyebut tentang keberkesanan perkhidmatan MDS dengan apa yang dianggap sebagai kurang menyenangkan kerana tidak membersihkan daerah itu.

Terdahulu semalam, beliau menerima kunjungan hormat oleh Kaunselor Politik Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Chris Carver di kediamannya di sini.

Dalam pada itu, ditanya jika beliau turut berpuas hati tahap kebersihan kawasan sekitar pekan Semporna ketika orang awam memuji prestasi MDS menyelesaikan isu kebersihan terutama selepas acara besar-besaran, Mohd. Shafie pula berpandangan berbeza.

“Well, saya harap begitulah. Kadang-kadang perkara ini tentang konsistensi. Dua bulan lalu siapa yang bersihkan Semporna? Pakai baju parti WARISAN dulu. Mana ada parti politik boleh bersihkan.

“Mana MDS? Ada gaji, elaun dan pangkat. Jangan tunggu diberi arahan. Kamu ada kerja, masakan pula saya bekas Ketua Menteri saya sapu lantai sebab Semporna kotor sedangkan ada pekerja di situ.

“Kita boleh bekerjasama. Kalau bersih Semporna, mereka juga yang mendapat nama. Bukan saya beritahu majlis daerah buanglah sampah. Bukan saya benci atau anti ,mereka, cuma pegawai dilantik ini orang politik, orang GRS,” katanya.