Sasar Lahir 70 Peratus Pemimpin Muda Melalui Pelbagai Bidang – BERSATU Sabah

KOTA KINABALU: BERSATU Sabah menyasarkan untuk melahirkan lebih 70 peratus pemimpin muda melalui pelbagai bidang bagi memperkasa pembangunan modal insan serta kepakaran dimiliki mereka pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Badan Pimpinannya Aksyah Nasrah berkata sasaran tersebut menjadi antara inti pati digariskan dalam lembaran baharu (new chapter) BERSATU Sabah dan Perikatan Nasional (PN) ke arah memperkukuh lagi gerakan parti itu di negeri ini.

Katanya, BERSATU Sabah dan PN negeri menerusi kepimpinan baharu diterajui Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sangat serius dalam membangunkan potensi belia dan beliawanis Sabah.

“Bagi mencapai hasrat itu, BERSATU Sabah akan mengenal pasti tenaga pakar dalam pelbagai bidang untuk kembali berkhidmat di Sabah.

“Kita yakin langkah ini akan dapat menarik minat pelabur untuk datang ke Sabah sekali gus mampu membuka lembaran baharu di Sabah selain meningkatkan tahap ekonomi lebih tinggi kepada rakyat wilayah ini.

“Ia juga akan menjadi antara langkah dalam memenuhi proses Borneonisasi seterusnya sebagai peneraju kepelbagaian sektor sebagai mana perjuangan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aksyah memberi maklum balas ini terhadap keluhan belia dan beliawanis di Sabah yang terpaksa mencari pekerjaan di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Justeru itu beliau berpandangan, seharusnya perkara ini tidak berlaku kerana Kerajaan Sabah hari ini banyak mengumumkan berkenaan kerancakan para pelabur di wilayah ini.

Justeru itu, di atas kepercayaan tinggi terhadap potensi yang banyak di Sabah untuk diterokai, beliau yakin mampu memberi tawaran pekerjaan dan menggunapakai kemahiran serta ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh golongan ini jika diberikan mandat nanti.

Aksyah juga percaya bahawa kekayaan sumber dan pertumbuhan ekonomi mampan di Sabah kelak berupaya menjadi platform dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya serta bekalan air bersih yang sering menjadi rungutan rakyat negeri ini.

“Ini termasuk menyelesaikan isu berkaitan aspek pendidikan khususnya melibatkan golongan B40, selain memberi perhatian kepada kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Tawaran ini adalah selaras dengan pendekatan politik PN yang sentiasa prihatin dan melaksanakan khidmat bakti terbaik kepada rakyat secara sama rata ,” katanya.

Aksyah juga optimis BERSATU Sabah mampu mewujudkan sehingga lebih 30,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan wilayah ini menerusi kehadiran pelabur dalam pelbagai bidang ekonomi.

“Strategi ke arah pencapaian tawaran-tawaran baharu ini akan dilaksanakan sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat oleh rakyat pada masa akan datang,” katanya.