KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 253 kes baharu Covid-19 hari ini sekali gus naik mendadak dianggarkan sebanyak 92 kes berbanding kelmarin (161).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berharap kes yang naik mendadak ini bukan berpunca daripada pelbagai acara sambutan tahun baharu yang membelakangkan prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang lain.
“Sekiranya acara keramaian menyambut tahun baharu adalah punca kenaikan kes hari ini, tidak mustahil kita akan menyaksikan jumlah kes harian yang lebih tinggi untuk beberapa waktu akan datang,” katanya.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, lebih banyak daerah mencatat kes baharu yang lebih tinggi hari ini dengan 10 daerah merekodkan kes dua angka berbanding 5 daerah sahaja semalam.
Antaranya, Kota Kinabalu dengan 49 kes (+20), Tuaran 29 kes (+10), Kota Marudu 19 kes (+14), Penampang 18 kes (+5) dan Sandakan 15 kes (+12).
“Cuma daerah Putatan dan Kunak yang tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya.
Menurutnya, adalah juga diperhatikan bahawa peratusan jumlah kes kategori saringan kontak rapat (45.8%) dan kategori saringan bergejala (43.1%) hampir seimbang hari ini.
“Ini secara jelas mencerminkan betapa luasnya virus Covid berada di tengah-tengah masyarakat serta kelalaian ramai orang daripada mematuhi pelbagai SOP,” katanya.
Jelas beliau, 50 (19.76%) daripada 253 kes hari ini melibatkan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun yang belum layak menerima vaksin.
“Statistik jangkitan yang melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun ini agak tinggi dan membimbangkan. Adalah diharapkan semua ibu bapa juga guru-guru di sekolah mengambil langkah-langkah dan inisiatif yang boleh mengurangkan risiko jangkitan ke atas mereka yang masih belum layak menerima vaksin,” kata Masidi.
Seramai 248 orang daripada 253 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, dua orang pesakit dalam Kategori 3, dan seorang pesakit masing2 dalam Kategori 4 dan Kategori 5. Satu kes lagi masih dalam penilaian lanjut JKNS.