KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) gagal mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, walaupun perjanjian itu memberikan kelebihan seperti pengurangan tarif eksport kepada 19 peratus dan pengecualian.
Katanya, ini termasuk terhadap beberapa produk termasuk minyak sawit, namun ia menimbulkan kebimbangan berhubung kehilangan kedaulatan dan hak negeri dalam urusan perdagangan serta pelaburan.
“Rakyat Sabah dan Sarawak berhak bersuara kerana ekonomi kita tidak sama seperti di Semenanjung.
“Sabah perlu diberi ruang menentukan hala tuju ekonominya sendiri, terutama dalam sektor strategik seperti minyak, sawit dan nadir bumi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Jeffrey turut menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor agar tidak berdiam diri terhadap pelaksanaan RTA itu.
Menurutnya, sebaliknya mempertahankan kepentingan rakyat dan masa depan negeri daripada terjejas oleh keputusan yang dibuat tanpa rundingan bersama Wilayah Borneo.
