KOTA KINABALU: Sabah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi inovasi digalakkan sekali gus dapat dipupuk secara lebih aktif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, integrasi teknologi serta inovasi penting dalam pembangunan ekonomi secara langsung Sabah komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi.
Katanya, dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri merangka memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik serta berdaya saing di rantau ini.
“Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan.
“Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau”, katanya ketika merasmikan “SUPERCHARGER SABAH 2024″ di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Hajiji berkata, sebagai contoh dalam sektor pertanian, Kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah pada bulan Julai lalu, dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan.
“Inisiatif seperti siri Program Supercharger memberi fokus utama dalam keterjaminan makanan, penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan import bekalan makanan.
“Ini seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri makanan dengan menggalakkan inovasi dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan.
“Sabah wajar perkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan smart farming dan automasi, mekanisasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti produk, bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga demi memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam,” jelas Hajiji.
Menurutnya, UMS menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi mereka dan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.
“Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’, dan banyak lagi.
“Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS,” katanya dalam kenyataan Hajiji.
Menurutnya, penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICMC) pada tahun 2021, menjadi pemangkin dalam memudahkan pensyarah UMS mengkomersialkan inovasi mereka.
“Supercharger Series 2024 merupakan inisiatif strategik yang dirangka khusus untuk memacu kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I).
“Program Supercharger membolehkan syarikat terbitan atau spin-off universiti, penyelidik, entiti sektor swasta, dan agensi dapat bekerjasama, belajar, dan menangani cabaran bersama-sama,” tambah Hajiji.
