Sabah rancang sekolah agama berteras AI, lahir generasi seimbang rohani dan teknologi

TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan SAN Apas Balung sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam seiring arus kemajuan teknologi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek itu akan dibangunkan di atas baki tanah seluas kira-kira 20 ekar melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Menurut beliau, pembangunan pendidikan Islam perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak, malah memiliki kemahiran teknologi untuk menghadapi cabaran masa depan.

“Pembangunan negeri yang mampan tidak hanya diukur melalui bangunan tinggi atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kekuatan iman, akhlak dan ilmu rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ihya Ramadan di Tawau.

Beliau turut memaklumkan bahawa SAN Apas Balung kini menjadi sekolah agama pertama di Sabah yang memperkenalkan pembelajaran berasaskan AI dengan penggunaan kemudahan Smart White Board bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif dan dinamik.

Menurutnya, pendekatan tersebut membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab dan jati diri Islam.

Tambah beliau, keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani penting bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.