TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 tidak akan membebankan rakyat, khususnya pengguna domestik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kenaikan kadar purata asas elektrik daripada 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj hanya melibatkan pertambahan kecil sekitar RM15 bagi bil bulanan RM100.
“Kalau naik sedikit tetapi kita dapat bekalan elektrik yang lebih baik, ia adalah sesuatu yang rasional. Kerajaan negeri akan sentiasa memantau kesannya terhadap rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira 70 hingga 80 peratus pengguna di Sabah merupakan pengguna biasa yang tidak terkesan secara ketara dengan pelarasan tarif tersebut.
Beliau menjelaskan, kenaikan itu perlu bagi menampung peningkatan kos operasi serta mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi kerajaan persekutuan yang dianggarkan RM700 juta setahun.
Dalam perkembangan lain, Hajiji memuji usaha pembinaan Sekolah Agama Negeri Apas Balung yang siap dalam tempoh tiga bulan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan sekolah berkenaan.
