TAWAU : Kerajaan Sabah hari memerlukan pendekatan penyelesaian menyeluruh dalam menangani isu kemudahan asas, bukannya terperangkap dengan retorik lama yang tidak membawa sebarang hasil kepada rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.berkata, sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir membangkitkan isu berkaitan air, elektrik dan jalan raya di negeri ini.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen, adalah hak beliau untuk menyuarakan suara rakyat. Namun sebagai bekas anggota kerajaan negeri terdahulu.
“Beliau juga perlu jujur dalam menilai dan adil dalam memberikan komentar. Suhaimi mempersoalkan ke mana hilangnya kutipan hasil balak sebanyak RM5.3 bilion antara 1999 hingga 2023.
“Secara tidak langsung merupakan pengakuan terhadap kegagalan pentadbiran lama, khususnya di bawah UMNO dan Barisan Nasional, dalam menterjemahkan hasil itu kepada pembangunan asas untuk rakyat Sabah,” katanya.
Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berkata, kerajaan semasa hanya mengurus hasil balak sejak tahun 2020 hingga 2023, dengan kutipan sekitar RM639 juta atau purata RM213 juta setahun.
“Jika dibandingkan dengan keperluan menyelesaikan masalah infrastruktur di seluruh negeri, jumlah itu ibarat mahu membeli Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil.
“Mustahil dapat menampung jurang pembangunan yang sudah berakar sekian lama,” jelas Nizam.
Dalam masa sama, beliau menimbulkan persoalan tentang keberadaan dana RM7.5 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan antara 2006 hingga 2015 bagi menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas di Sabah.
“Ironinya, dana itu juga sewajarnya dijelaskan oleh Datuk Suhaimi kerana ketika itu Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh UMNO,” tambahnya.
Nizam turut mengingatkan bahawa sejak September 2020, Suhaimi dan partinya turut berada dalam Kerajaan Negeri selepas pengambilalihan kuasa daripada Warisan.
“Ketua UMNO Sabah sendiri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, tetapi tidak banyak penyelesaian konkrit yang dicapai ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, di bawah pentadbiran baharu yang lebih tersusun, isu bekalan air dijangka selesai menjelang 2030 apabila projek seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas siap sepenuhnya dan mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari.
Tambahnya, isu tenaga pula sedang ditangani melalui penambahan sumber seperti solar, bateri simpanan dan sambungan tenaga dari Sarawak ke grid Sabah, manakala masalah jalan raya pula diatasi melalui projek Lebuhraya Pan Borneo dan peruntukan RM500 juta oleh Kerajaan Negeri untuk menaik taraf jalan raya negeri.
“Perlu difahami bahawa banyak jalan utama adalah jalan Persekutuan dan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan negeri. Datuk Suhaimi tentu arif soal ini, jadi tidak wajar meletakkan semua beban kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar Suhaimi menyampaikan perkara itu kepada Presiden UMNO yang kini menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bertanggungjawab secara langsung terhadap infrastruktur luar bandar.
“Kerajaan Sabah hari ini menunjukkan kadar penyelesaian lebih tinggi berbanding era lalu kerana keikhlasan tadbir urus kini kembali kepada rakyat Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar mengkritik berdasarkan fakta dan bukan menggunakan naratif sensasi yang hanya membangkitkan keresahan rakyat