TAWAU : Kerajaan negeri menggesa aga setiap penganjur memberikan keutamaan terhadap program meningkatkan kesedaran terhadap perpaduan kaum di Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap penganjur perlu menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat serta melibatkan semua kaum dan agama.
Katanya, sekiranya dapat dilaksanakan sudah pasti negara sentiasa aman dan makmur sekali gus sukar dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita melihat penganjuran Karnival Stylofest Merdeka 2024 merupakan satu sejarah bagi daerah Tawau kerana menerima kunjungan ramai dalam kalangan artis popular di negara ini.
“Saya melihat karnival ini dibuat secara besar-besaran serta mendapat sambutan dalam kalangan peniaga di daerah Tawau dan sekitarnya.
“Kehadiran artis-artis tempatan menghangatkan lagi suasana karnival yang dianjurkan ini dan saya berharap banyak lagi program-program sebegini dianjurkan di daerah Tawau,” katanya dalam Karnival Stylofest Merdeka 2024, di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan sentiasa memberikan sokongan padu bagi sebarang penganjuran di Sabah selagi ia membawa manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Kita mahu Sabah menjadi lokasi pilihan utama bagi setiap penganjuran terutamanya yang membabitkan program berimpak besar dan melibatkan masyarakat di negeri ini.
“Melalui penganjuran program juga dapat memberikan ruang dan peluang kepada peniaga kecil untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pelanggan,” jelas Nizam.