Sabah komited, terus tuntut haknya dalam MA63 dalam konteks Keluarga Malaysia – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah komited meneruskan usaha menuntut haknya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua  Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri  akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman serta hubungan baik bersama kerajaan persekutuan dalam memastikan tuntutan serta hak Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kita percaya isu berhubung hak serta kepentingan negeri yang melingkari  hubungan kerjasama di antara Sabah dan kerajaan persekutan selama ini akan dapat  ditangani melalui perundingan serta muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dipengerusikan  Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya mengulangi bahawa Sabah akan  tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun  2022 di Padang Merdeka, di sini malam ini.

Hajiji berkata, Sabah sudah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia  pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk  membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini selaras dengan agenda pembangunan negeri.

Ini jelas apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion mengikut laporan statistic Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga September, 2022 sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga  terbesar di Malaysia.