TAWAU : Kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai tidak relevan, terus mendapat reaksi balas pemimpin Sabah.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan kenyataan itu sebagai dangkal sekali gus tidak memahami semangat sebenar di sebalik slogan yang lahir daripada perjuangan sejak sekian lama di negeri ini.
Katanya, slogan ‘Sabah for Sabahan’ bukan semata-mata retorik politik bermusim, sebaliknya adalah simbol perjuangan berterusan.
“Ini khususnya untuk mempertahankan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bila Ahmad Maslan kata slogan ini tidak relevan, jelas beliau gagal faham sejarah dan asas pembentukan negara. Slogan itu bukan menolak Malaysia, tapi menuntut keadilan untuk Sabah dalam Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nizam merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, semangat ‘Sabah for Sabahan’ membawa maksud Sabah perlu ditadbir oleh kepimpinan tempatan yang memahami denyut nadi rakyat negeri ini.
“Kita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa mengutamakan kepentingan Sabah.
“Kita mahu pembangunan dan pentadbiran negeri ini berdasarkan acuan kita sendiri, bukan dikawal dari luar,” jelas Nizam.
Menurutnya, beliau menyifatkan mana-mana pihak luar yang menafsir slogan itu secara sempit sebagai tidak memahami realiti dan aspirasi rakyat Sabah.
“Sabah bukan negeri biasa dalam Malaysia. Ia bersama Sarawak dan Semenanjung membentuk Persekutuan.
“Kita bukan anak tiri yang boleh disamakan dengan negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Nizam turut menyentuh isu kerjasama politik di Sabah yang menurutnya masih dalam perbincangan dan tiada keputusan muktamad setakat ini.
Namun beliau menegaskan bahawa kerajaan Sabah ketika ini adalah hasil gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH), dan sebarang keputusan politik perlu menghormati mandat rakyat.
“Apa jua yang dirancang mesti berpaksikan kepada realiti kerajaan sedia ada. Kita bukan main-main soal ini,” katanya.
Nizam berkata, perjuangan mempertahankan MA63 dan hak Sabah bukan soal slogan kosong, tetapi soal prinsip dan maruah negeri.
“Kalau benar-benar faham semangat Malaysia, jangan pandang ringan slogan ‘Sabah for Sabahan’. Ini suara rakyat, bukan propaganda,” katanya.
