KOTA KINABALU : Pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas sekali gus tidak melindungi pembuli di sekolah mereka.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, jika wujud yang dibuli bermakna sekolah terbabit perlu mengambil tindakan yang sewajarny.
Katanya, perkara ini perlu diambil tindakan tegas serta diberi pengajaran keras agar kejadian ini tidak berlaku pada masa depan.
“Tidak wajar jika pembuli yang tidak bermoral terus dilindungi identiti, cuma kerana dia juga seorang pelajar.
“Jika hari ini dia buli rakan sekolah, esok bila dewasa dan keluar dari alam persekolahan, apa dia mahu jadi? Siapa dia mau buli?
“Ini ialah sifat penjenayah yang kelak boleh merosakkan keharmonian dalam institusi masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fairuz berkata, kejadian buli yang sering berulang tanpa episod penamat adalah umpama duri dalam daging yang perlu dihentikan demi kesejahteraan dan keselamatan para pelajar di sekolah.
“Kita hantar anak-anak ke sekolah untuk belajar, mencari ilmu, bergaul berkawan sesama mereka dan berusaha keras mengejar cita-cita menjadi anak bangsa berguna.
“Apa guna jika wujud segelintir virus perosak seperti golongan pembuli ini, dan pihak bertanggungjawab dan sekolah mendiamkan diri,” jelas Fairuz.
Menurut, sampai bila perlu mangsa serta keluarganya perlu bersedih berhubung keadaan yang sangat tidak adil ini.
Terdahulu, tular di platform media sosial hari ini kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu SMA Tun Datu Mustafa Limauan di Papar, meninggal dunia setelah terjatuh daripada tingkat tiga sekolah itu, Rabu lalu.
Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada Khamis, semalam.
