Sabah Electricity buka bilik gerakan pantau bekalan terjejas banjir

KOTA KINABALU: Sabah Electricity meningkatkan pemantauan terhadap bekalan elektrik di kawasan dilaporkan terjejas banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, ketika ini pasukan teknikal bersiap sedia bertugas 24 jam membaiki sebarang kerosakan yang dilaporkan pengguna akibat banjir.

Katanya, penyediaan set janakuasa bergerak diletakkan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan pengguna dapat bekalan elektrik yang mencukupi.

“Ketika ini Sabah Electricity mengenal pasti lokasi dilanda banjir termasuk Telupid, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Ranau serta kawasan Lahad Datu.

“Pihaknya mengutamakan keselamatan, bekalan di pencawang elektrik yang ditenggelami terpaksa dimatikan manakala kerja-kerja pembaikan akan dibuat selepas paras air surut dan keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusmanizam berkata, keselamatan rakyat Sabah terjejas banjir menjadi keutamaan sekali gus memastikan pemulihan bekalan dapat disegerakan selepas kawasan tersebut disahkan selamat.

“Kita sudah membuka bilik gerakan banjir untuk memantau keadaan serta bertindak segera jika terdapat bahaya berkaitan dengan keselamatan elektrik.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000atau Whatsapp 019- 852 5427,” jelas Mohd Yusmanizam.