Sabah berjaya mencapai sifar miskin tegar – Hajiji

KOTA MARUDU: Sabah berjaya mencapai sasarannya untuk menghapuskan isu kemiskinan tegar pada 31 Julai tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata,atas komitmen daripada semua, yang selaras dengan aspirasi kerajaan Madani dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025).

“Saya ingin mengumumkan bahawa kita telah berjaya menghapuskan golongan miskin tegar dalam senarai angka terkunci pada 31 Julai 2024,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek perintis penanaman padi di Kampung Ongkilan di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerjasama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sawit Kinabalu membantu usaha Kerajaan Negeri menghapuskan golongan miskin tegar di negeri ini.

“Saya berharap GLC akan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia kita.

“Ini sudah pasti akan membantu kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ dan Pejabat Pembangunan Sabah berusaha untuk membasmi kemiskinan tegar,” jelas Hajiji.