KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti di DUN Sabah dengan kadar segera.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Assafal P Alian berkata, sehingga kini perkara ini belum dilaksanakan walaupun Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah menyatakan kesediaan serta komitmen berdasarkan beberapa kenyataan media mengenainya dibuat pada tahun lalu.
“Kita melihat setelah apa yang berlaku kebelakangan ini, dengan pergolakan politik, saya menggesa agar Sabah perlu menyegerakan untuk membentangkan RUU anti-lompat parti.
“Langkah ini selari dengan apa yang telah dibuat di peringkat persekutuan dan kita juga beberapa negeri lain yang bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap demokrasi dan sistem politik negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Assafal merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku berkata, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau lebih dikenali sebagai RUU anti-lompat parti melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mula berkuat kuasa sejak 5 Okt 2022.
Katanya, selaras dengan pindaan itu kerajaan persekutuan sudah meminta kerajaan negeri mengguna pakai pindaan yang digubal bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu untuk terpakai kepada ADUN.
“Bagi kerajaan Sabah, pemakaian RUU anti-lompat parti, setakat ini masih lagi belum dilaksanakan walaupun sudah ada beberapa kenyataan media sejak awal Nov 2022 oleh ketua menteri yang memberikan komitmen untuk tujuan tersebut.
“Jika RUU ini dibentang dan diluluskan di DUN Sabah, ia akan dapat membawa kepada kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang jelas,” katanya.