Pusat hiburan guna lesen restoran dan pelanggan dikompuan RM10,500

LAHAD DATU: Sebuah pusat hiburan yang didapati cuba berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran bersama tujuh pelanggan dikenakan kompaun RM10,500, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi Op Noda serta Op Covid-19 dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu mengesan premis yang menjalankan aktiviti pusat hiburan itu sekali gus dikenalpasti turut menerima ramai pengunjung.

Antara pelanggan yang diperiksa dalam operasi tersebut. Gambar Polis Daerah Lahad Datu.

Katanya, premis perniagaan restoran itu dikesan menganjurkan pusat hiburan serta didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD).

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini  juga didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera atau menyediakan buku pendaftaran masuk premis untuk pelanggannya.

“Selain itu, premis berkenaan juga tidak menetapkan jumlah pengunjung diwajibkan lengkap dos vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan masuk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rohan Shah berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap tujuh pengunjung berjumlah keseluruhan RM10,500 apabila didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Semua pelanggan terbabit didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 kerana gagal mendaftar masuk ke premis ini menyebabkan kompaun dikeluarkan kepada mereka,” katanya.

Katanya, polis turut menahan dua individu yang bertindak sebagai penjaga premis kerana melanggar syarat lesen operasi.

“Pasukan operasi turut merampas peralatan pusat hiburan termasuk alat pembesar suara dan komputer serta monitor di dalam premis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Peraturan-Peraturan 17, Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.