KOTA KINABALU: Projek Tebatan Banjir bagi kawasan Parlimen Sepanggar dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat.
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapa Sakmud berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam sesi perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini, hari ini.
Katanya, antara fokus utama yang diberi tumpuan adalah Projek Tebatan Banjir di Sungai Rampayan yang dilihat perlu disiapkan segera.
“Ia memerlukan tindakan segera bagi memastikan masalah banjir kilat di sepanjang sungai berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Selain itu, pihak pengurusan tertinggi JPS turut memberi taklimat secara komprehensif berhubung status beberapa lagi projek tebatan banjir yang sedang dalam pelaksanaan di kawasan Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat yang diketuai Pengarah JPS, Waily Harim serta barisan jurutera kanan ketika lawatan kerja ke JPS, di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim; ADUN Darau, Azhar Matusin dan wakil ADUN Karambunai, Romeo Anson serta Pengarah Pejabat Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat.
Mustapa berkata, pihaknya berharap agar JPS mempercepatkan pelaksanaan semua projek tebatan banjir terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai ‘tenat’.
Sehubungan itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, penduduk kampung yang tinggal di kawasan rezab sungai dirayu supaya memilih untuk menerima tawaran pampasan dan berpindah dengan segera.
Katanya, ia bagi memastikan semua projek tebatan banjir ini dapat dilaksanakan mengikut jadual dirancang.