TUARAN : Beberapa projek penjanaan elektrik yang besar sedang dirancang bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, sekali gus meningkatkan rezab margin bekalan itu sehingga 30 peratus menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS), antara projek yang dirancang adalah pembelian tenaga dari Sarawak pada tahun ini.
Katanya, projek yang dirancang termsuk pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW pada 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada tahun depan.
“Dengan pendekatan strategik oleh kerajaan Sabah untuk meningkatkan kapasiti penjanaan, kerajaan Persekutuan percaya masalah bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Fadillah merupakan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM102.9 juta untuk pelaksanaan dan penyiapan projek-projek pengukuhan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah tahun ini.
“Selepas penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah ini, saya berharap agar kerajaan negeri akan sentiasa komited dalam menangani masalah berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan khususnya PETRA bersedia untuk bekerjasama dan membimbing sekiranya Sabah memerlukan bantuan serta khidmat nasihat.
“Kerajaan Persekutuan juga komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah bagi memastikan rakyat menerima manfaat di samping sistem pembekalan elektrik yang lebih stabil dan terjamin.
“Seperti yang dipersetujui, jumlah siling indikatif subsidi daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity bagi 2024 hingga 2030 adalah sebanyak RM3.54 bilion. la merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif, dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT),” tambahnya.
