Projek pembangunan KKDW dilaksanakan lebih teratur, cepat di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah merupakan antara negeri terbesar di Malaysia sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur asas memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, kemudahan asas itu meliputi bekalan air, eletrik, jalan luar bandar, liputan komunikasi dan lain-lain.

“Kemudahan infrastruktur asas sangat diperlukan oleh Sabah memandangkan negeri ini agak ketinggalan dalam aspek berkenaan khususnya di kawasan luar bandar.

“Inisiatif turun padang oleh pihak KKDW yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan program dan projek KKDW untuk Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat,” katanya.

Hajiji mengalu-alukan Mesyuarat Penyelarasan itu yang julung-julung kali diadakan berkata, ia dapat memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program-program pembangunan KKDW di Negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik syor daripada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat, bahawa projek-projek Persekutuan yang bernilai RM50 juta ke bawah, Kerajaan Negeri bertanggungjawab melaksanakannya dengan menggunakan kepakaran tempatan serta dipantau oleh kementerian yang berkenaan.

“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pusat khususnya KKDW dalam hal-hal berkaitan pembangunan agar projek-projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya.