Presiden UPKO Letak Jawatan Kabinet, Tegas Pertahan Hak 40 Peratus Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang disifatkannya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia dan hak 40 peratus Sabah.

Ewon berkata, beliau tidak dapat bersetuju dengan pandangan AGC seperti yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, perjuangan UPKO berpaksikan kepada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta dokumen asas seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Akta Malaysia yang menjadi asas kepada hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, beliau kekal dengan pendirian bahawa AGC tidak seharusnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah bagi melaksanakan hak 40 peratus hasil bersih persekutuan.

“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan,” katanya.

Ewon turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang diberikan sepanjang berada dalam Kabinet Persekutuan yang menjadi wadah memperjuangkan hak-hak Sabah.

Beliau turut memaklumkan akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda “Sabah First” sebagai hala tuju baharu parti itu.