Polis, ESSCOM tingkatkan keselamatan di perairan Lahad dan Kunak menjelang Aidilfitri

LAHAD DATU : Orang ramai diingatkan agar tidak perlu berasa bimbang berhubung kejadian tembakan membabitkan dua anggota Maritim Malaysia di perairan Kunak pagi tadi.

Timbalan Menteri Sains dan Invovasi Malaysia, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ketika ini pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh perairan Kunak.

Katanya, kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan akan dipantau rapi terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kita nasihatkan agar masyarakat di Parlimen Lahad Datu terutama di kawasan daerah Kunak jangan panik, tidak perlu bimbang serta sentiasa bertenang berikutan pihak keselamatan sentiasa bersiap siaga terutama dimusim perayaan ini.

“Pihak polis akan meningkatkan lagi aspek keselamatan di daerah ini dan perairannya untuk memastikan keselamatan terus terjamin dan terpelihara walaupun semasa dan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mohammad Yusof merupakan Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, orang ramai perlu meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pasukan keselamatan bagi memastikan seluruh kawasan perairan Lahad Datu dan Kunak tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

“Pemantauan keselamatan ini adalah memberi mesej jelas bahawa pasukan keselamatan sentiasa siap siaga dalam memerangi jenayah rentas sempadan walaupun dalam musim perayaan.

“Kita menasihati orang awam supaya tidak gusar dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anggota keselamatan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” jelas Mohammad Yusof.

Menurutnya, masyarakat perlu memberi keyakinan dan kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berhampiran untuk tindakan segera diambil.

Akhbar melaporkan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak pada 8.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan
Laksamana Pertama (M) Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata ketika kejadian, anggota Maritim Malaysia melihat sebuah bot yang mencurigakan berada di perairan itu sebelum cuba menghampiri bot berkenaan.

“Bagaimanapun semasa anggota menghampiri bot berwarna biru itu, tiga suspek yang dipercayai berada dalam bot telah melepaskan tembakan ke arah anggota Maritim Malaysia sebelum memecut ke arah perairan negara,” katanya.