PKR Sabah pertahankan kerusi DUN Api-Api, Inanam pada PRN17 – Mustapha

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertahankan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api serta Inanam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bukan setakat dua kerusi malah akan ada juga penambahan lain sekali gus akan diumumkan bila tiba masanya nanti.

Katanya, beliau juga akan memberi bayangan untuk bertanding kerusi DUN pada PRN ini serta menunggu waktu sesuai untiuk diumumkan kelak.

“Kawasan yang dipilih sudah pasti akan menyumbang kepada kemenangan nanti…Setakat ini kita sudah mengenalpasti tetapi akan umumkannya kemudian.

“Setakat ini kita masih belum mengadakan perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Sabah, keputusan ini hanya dibuat selepas tempoh DUN dibubarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama Mustapha merupakan Timbalan Menteri Pendidikan berkata, satu program Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah akan berlangsung pada 4 Ogos ini (Ahad) bermula jam 8 pagi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Kita menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir pada perhimpunan  besar ini dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden Keadilan.

“Acara ini adalah peluang untuk kita semua bersatu, menunjukkan solidariti serta memperbaharui komitmen terhadap kemajuan dan pembangunan negara yang kita cintai,” jelas Mustapha.

Menurutnya, antara agenda utama adalah mendengarkan Ucapan Utama disampaikan Perdana Menteri sendiri disamping akan menggariskan dasar-dasar kerajaan serta perancangan masa depan untuk negara. 

“Antara intipati dimuatkan sebagai pengisian dalam Himpunan Perdana ini adalah berkait dengan isu-isu infrastruktur rakyat, kemiskinan, isu pengangguran belia, purata pencapaian Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Ini khususnya dalam kalangan pelajar Sabah yang rendah dan hal-hal  berkaitan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata Mustapha.