PKPD di 6 lokaliti di Sabah

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti di Sabah bermula Khamis hingga 8 September ini.

PKPD di Sabah akan dilaksanakan di dua lokaliti di Tawau, membabitkan Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani, manakala dua lokaliti di Kota Belud membabitkan Kampung Sayap dan Kampung Rampayan Laut.

Turut dilaksanakan PKPD adalah di Kuarters Kilang Mee Tien Hock, Penampang dan Taman Sri Panglima, Beaufort.

Sementara itu, enam lokaliti di Sabah, yang sedang dilaksanakan PKPD dan dijadualkan berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 8 September depan.

Ia membabitkan Kampung Pulau Penampang, Kampung Gudon, Manggatal dan Kampung Lobou di Kota Kinabalu; Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar dan Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau.

Dalam perkembangan lain, MKN turut mengumumkan penamatan PKPD esok di enam lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah, membabitkan Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia, Taman Putera Jaya dan Kuarters Kilang J&L, Jalan Kokol.

Lokaliti lain di Sabah adalah Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang; Kampung Batu 1, Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau; Kampung Batu-Batu, Tenom; Kampung Tempasuk 1 dan Kampung Tambulaung, Kota Belud dan Kampung Tagibang, Kota Marudu.