KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras tidak bercukai di sebuah kedai runcit di Kampung Tongod, Pamol, Beluran, semalam.
Operasi jam 1 petang yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, turut menyerbu sebuah lagi rumah yang dijadikan tempat penyimpanan di Kampung Manduing, Botition, di sini, selepas dipandu arah oleh suspek.
Hasil kedua-dua serbuan, PGA berjaya merampas ratusan kotak rokok dan arak bernilai keseluruhan RM231,760 termasuk cukai.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia 27 tahun.
Katanya, suspek ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penjualan barang tidak bercukai di kedai runcit yang diserbu.
“Hasil pemeriksaan, pasukan PGA merampas 986 botol dan 144 tin minuman keras bersama 2,470 kotak rokok manakala serbuan di sebuah lagi rumah, 242 tin minuman keras serta 9,580 rokok pelbagai jenama dirampas,” katanya kepada media dalam laporan portal Berita Harian hari ini.
Katanya, suspek dan semua barangan tidak bercukai yang dirampas di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.