LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM67,800 dalam sebuah van di Jalan POIC, di sini, awal pagi hari ini.
Dalam Ops Kontraban oleh pasukan khas perisikan Batalion 17 Lahad Datu, kira-kira jam 9 pagi itu, pasukan penguatkuasa turut menahan pemandu van berusia 41 tahun.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menahan sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan di belakang kenderaan itu menemui 19 plastik hitam yang mengandungi 460 karton rokok disyaki diseludup.
“Rampasan ini membabitkan pelbagai jenis rokok seludup dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini.
“Anggaran nilai rokok yang dirampas berjumlah RM67,800 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk van serta telefon bimbit adalah sebanyak RM98,400,” katanya.
Mohd Abduh berkata, rampasan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.
Polis menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
SabahNewsToday