Pewartaan Taman Kinabalu sebagai Kinabalu Global Geopark Rancakkan ekonomi negeri

Jefry menerima cenderahati

KOTA KINABALU: Pewartaan Taman Kinabalu sebagai Kinabalu Global Geopark dijangka akan menjadi kenyataan menjelang Ogos ini atau awal tahun hadapan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, melalui seminar yang diadakan hari ini, usaha mewartakan Taman Kinabalu sebagai salah satu geopark Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNESCO) dilihat akan dapat direalisasikan.

Beliau berkata seminar secara maya dan fizikal ini disertai oleh pelbagai penggiat industri di seluruh dunia, pakar universiti tempatan serta komuniti setempat yang berada sekitar Taman Kinabalu.

“Kita melihat usaha mewartakan Kinabalu Geopark ini akan membuka peluang keemasan kepada pelabur dan pelawat untuk datang melawat dan beriadah di tapak yang mendapat pengiktirafan badan antarabangsa kerana kecantikan alam semulajadinya ini.

“Apabila ianya diwartakan kelak, ia pasti dapat menarik lebih ramai pelawat dan pelabur dan ini pastinya akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti di sekitar kawasan tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa ‘Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geopark’, hari ini.

Dalam perkembangan mengenai gelembung perjalanan (travel bubble), Jafry berkata, ketika ini dua permohonan bagi pelaksanaan gelembung perjalanan sudah diluluskan di peringkat negeri iaitu Sutera Harbour Resort & Spa serta Scuba Junkie di Semporna.

Bagaimanapun, kebenaran gelembung perjalanan ini tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Untuk Scuba Junkie, mereka boleh menerima pelawat dari Kota Kinabalu untuk datang ke tempat mereka di Semporna menggunakan kaedah gelembung perjalanan melalui jalan darat.

Buat masa ini, perjalanan melalui udara belum dibenarkan kecuali ia membabitkan pesawat sewa khas daripada agensi pelancongan itu sendiri.

Tambahnya, buat masa ini, Sabah hanya membenarkan pergerakan mengikut zon sahaja dimana, mereka tidak perlukan surat kebenaran kecuali ingin merentas zon. Terdapat, enam zon yang ditetapkan di Sabah.

Bagi pelawat dari Kota Kinabalu, mereka boleh melakukan pergerakan sehingga ke Ranau dan Kota Belud yang masih berada dalam zon yang sama.

SabahNewsToday

Leave a Reply