Petugas Hidupan Liar maut diserang gajah

PENAMPANG: Seorang petugas Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, di sini, maut diserang seekor gajah pygmy, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa dikatakan diserang ketika sedang memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera di kandang pameran gajah ternakan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan tugas rutin memberi makan dan membersihkan gajah berkenaan.

“Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun yang parah di bahagian dada dan perut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Secara tiba-tiba, seekor gajah dewasa menyerang mangsa ketika sedang memberi rawatan kepada anak gajah yang

tercedera.

“Akibat daripada serangan itu, mangsa parah di bahagian dada serta perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kesihatan,” katanya menurutnya laporan Harian Metro hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.