Petronas serah peralatan bantu nelayan teroka perikanan liat dalam

KOTA KINABALU: Petronas dan Jabatan Perikanan Sabah mengambil inisaitif membantu nelayan tempatan untuk meneroka sumber perikanan laut dalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai, Petronas dan Jabatan Perikanan akan melaksanakan projek kerjasama Peranti Pengumpul Ikan (FAD) atau dalam bahasa tempatan dipanggil ‘payao’.

“Projek ini akan membantu nelayan meneroka sumber perikanan laut dalam terutama ikan tuna sirip kuning.

Kerjasama ini akan menjayakan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan industri tuna di Sabah.

“Petronas bersetuju menyediakan 40 unit peranti untuk diagihkan kepada nelayan tempatan dan ini pastinya akan membantu meningkatkan hasil tangkapan mereka,” katanya di sini hari ini.

Jeffrey berkata, dengan adanya 40 peranti yang akan mula diagihkan kepada nelayan bermula pada Mac, ia bukan hanya dapat meningkatkan hasil tangkapan mereka malah, boleh meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Pada masa ini, terdapat 90 pemegang lesen tuna di seluruh Sabah termasuk di perairan Semporna, pantai barat dan Laut China Selatan.

Penerokaan sumber perikanan laut dalam ini amat bertepatan dengan usaha kerajaan menurunkan kuasa kepada Jabatan Perikanan Sabah pada tahun lalu untuk mengawal perlesenan perikanan laut dalam di negeri ini.

Malah, jika dilihat sektor perikanan Sabah telah mencapai tahap sara diri (SSL) melebihi 100 peratus dari segi pengeluaran ikan sejak tahun 2011 dan Sabah antara negeri utama pengeksport hasil perikanan di Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, biarpun projek Peranti Pengumpul Ikan telah bermula sejak 2021 namun, di Sabah itu adalah kerjasama pertama antara Jabatan Perikanan dan Petronas.