Pesawat MH2710 ke Sandakan alami isu teknikal – Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines MH2710 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah semalam didapati mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan.

Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pesawat itu juga terpaksa kembali semula ke ruang menunggu (bay) selepas prosedur kali kedua untuk menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.

Menurut kenyataan itu, pada masa sama insiden berkenaan seorang penumpang juga memerlukan bantuan perubatan kecemasan.

“Malaysia Airlines memohon maaf apabila pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baikpulih dilakukan menyebabkan persekitaran kabin menjadi panas.

“Selepas itu, penumpang dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan jam 4.30 petang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia Airlines kesal dengan kelewatan terbabit dan memohon maaf sekali lagi atas ketidakselesaan sementara yang dialami penumpang.

“Keselamatan kekal menjadi keutamaan kepada Malaysia Airlines,” katanya.