Pesakit dipindah akibat gangguan elektrik

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini mengalami gangguan elektrik menyebabkan sejumlah pesakit terpaksa dipindahkan ke QEH2 di Damai, dekat sini, hari ini.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, bagi memastikan perkhidmatan di QEH1 tidak terjejas, kes pembedahan turut dipindahkan ke QEH2.

Katanya, gangguan elektrik itu membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama QEH1 pada 11.54 pagi tadi.

“Pada 12.08 tengah hari, syarikat konsesi Sedafiat menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pada 12.29 tengah hari, satu ‘troubleshooting’ dibuat bagi mencari punca gangguan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, QEH1, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) serta syarikat konsesi telah mendapatkan set penjana kuasa tambahan sebagai sokongan terhadap penjana kuasa sedia ada.

Katanya, SESB turut memberikan dua set penjana kuasa mudah alih yang menampung bekalan elektrik bangunan terbabit sepanjang tempoh gangguan elektrik berlaku.

“Pada 8 malam, selepas dua set penjana kuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan unit rawatan rapi (ICU) mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah.”

Sehingga kini, katanya, SESB dan syarikat konsesi masih berusaha membaiki kabel yang tidak berfungsi.