Perpaduan, kerjasama kalangan rakyat faktor kejayaan negara kekalkan keamanan – Suhaimi

SANDAKAN: Perpaduan dan kerjasama kalangan rakyat antara faktor kepada kejayaan negara mengekalkan keadaan aman.

Justeru itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata soal perpaduan perlu sentiasa dijaga dengan baik.

Katanya pada masa sama, rakyat perlu bersyukur kerana kerajaan mentadbir negara ini mampu mengekalkan keamanan dan keutamaan kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Kita amat beruntung kerana Malaysia sentiasa dalam keadaan aman. Kuncinya adalah perpaduan dan kerjasama.

“Kita boleh mengadakan program sebegini dengan selesa, beriadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan,” katanya ketika merasmikan Program Ride Santai Merdeka di Sepilok dekat sini, hari ini.

Program ini disertai 150 peserta.

Katanya tema sambutan Hari Kebangsaan tahun 2023 iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang dipilih bagi mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, Bersatu padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata penganjuran program ini juga adalah untuk memupuk semangat cintakan negara, mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas, mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan satu suasana yang harmoni dan bersatu bersesuaian dengan slogan sambutan kemerdekaan 2023 kali ke-66.

Beliau berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan pada pada akan datang dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan dalam dikekalkan bagi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

Katanya semoga usaha gigih dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak tidak berhenti disini tetapi secara berterusan dan ditingkatkan demi usaha mengamalkan gaya hidup sihat dan harmoni.