Permohonan KDM sertai GRS tidak terjejas – Masidi

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun berkata, permohonan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai gabungan tidak terjejas, walaupun Presidennya, Datuk Peter Anthony disabitkan bersalah mahkamah Khamis lalu.

Katanya, Peter yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, masih mempunyai peluang untuk memfailkan rayuan.

“Saya ingat kita hormati prosiding undang-undang, seperti kita tahu dalam proses undang-undang, dia (Peter) masih ada dua peringkat untuk merayu. Jadi atas andaian itu, peluang beliau untuk tidak disabitkan kesalahan masih terbuka luas.

“Kita tidak mahu membuat tanggapan negatif hanya kerana dia telah disabitkan kesalahan di peringkat awal,” katanya dalam laporan FMT selepas pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini.

Masidi berkata, permohonan KDM untuk menyertai GRS dibuat parti, bukannya Peter secara individu.

“KDM adalah sebuah parti, Peter hanya seorang pemimpin parti itu, jadi yang memohon adalah parti dan bukan Peter secara individu.

“Saya fikir kita kena bezakan pemimpin dan parti, saya tidak fikir sabitan kesalahannya akan memberi kesan kepada peluang KDM untuk menyertai GRS.”

Khamis lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000, selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik di Universiti Malaysia Sabah.

Peter yang juga ADUN Melalap menubuhkan KDM selepas meninggalkan Warisan bersama ADUN Limbahau, Juil Nuatim yang juga timbalan pengerusi KDM pada 28 Dis lalu.