LAHAD DATU: Kerajaan digesa agar mengutamakan kepentingan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Abdul Rahim Gulam Hassan berkata, dalam isu PKS kerajaan perlu menyediakan banyak geran bantuan perniagaan kepada golongan usahawan terutama pada mereka terkesan dalam pandemik COVID-19.
Katanya, selain usahawan memperkenalkan dana dalam bentuk pembiayaan mikro pada kadar faedah lebih rendah dijangka dapat membantu memulihkan ekonomi mereka.
“Golongan petani serta nelayan merupakan nadi serta tulang belakang kepada ekonomi negara. Oleh itu kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada mereka.
“Kerajaan perlu lebih peka dengan permasalahan yang dihadapi bagi mengelakkan lebih banyak usahawan terpaksa gulung tikar sekali gus kehilangan punca pendapatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abdul Rahim berkata, umum mengetahui belanjawan 2022 adalah untuk memerangi COVID-19 sekali gus dapat mengembalikan negara kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan di masa depan.
Dalam masa sama, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memperluaskan lebih banyak projek pembinaan rumah (PPRT) bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar terutama di kawasan luar bandar.
“Begitu juga dengan projek pembaikpulih jambatan, jalan kampung uzur serta usang wajar diberikan perhatian kerana ia merupakan keperluan asas yang diperlukan rakyat,” katanya.