Perisik ESSCOM gagalkan aktiviti Abu Sayyaf

KUALA LUMPUR: Operasi khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menggagal serta melumpuhkan tujuh aktiviti kumpulan Abu Sayyaf (ASG) sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata empat aktiviti yang berjaya digagalkan itu adalah pada tahun lalu, manakala tiga lagi aktiviti yang dilumpuhkan pada tahun ini.

Katanya, kejayaan mengekang ancaman ASG itu adalah hasil penggunaan kaedah perisikan manusia (human intelligence) yang menjadi antara aspek penting yang dititikberatkan ESSCOM bagi mengekalkan tahap pengoperasian yang tinggi.

“Kaedah ini menekankan pengumpulan maklumat daripada individu atau kumpulan sasaran tertentu melalui libat urus agensi dengan individu, kumpulan atau komuniti.

“Kaedah interaksi sosial yang dilaksanakan sekarang memberi impak positif dengan perubahan persepsi masyarakat bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan nyawa dan harta benda rakyat di kawasan terbabit.

“Kejayaan kerajaan menggagal serta melumpuhkan empat aktiviti ASG pada 2020 dan tiga aktiviti ASG pada tahun ini membuktikan keberkesanan elemen perisikan yang dilaksanakan pada masa ini,” katanya ketika sesi jawab lisan laporan Berita Harian di Dewan Negara, hari ini.