KUALA LUMPUR : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menarik perhatian umum berhubung maklumat teks tular menerusi aplikasi Whatsapp menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.
Justeru, ingin ditegaskan HASiL tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu.
“Sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Persekutuan, HASiL memandang serius terhadap penyalahgunaan nama Ketua Pegawai Eksekutif HASiL di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Secara amnya, sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” katanya LHDN dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, tiada sebarang teks menerusi aplikasi Whatsapp boleh dilakukan tanpa kebenaran dan HASiL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, HASiL ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk teks Whatsapp, emel, pautan yang mencurigakan serta laporkan mesej dan sekat nombor tersebut.
“Sebarang semakan maklumat berkaitan percukaian boleh dibuat menerusi saluran yang sahih seperti berikut, Portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my; Portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my; HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03- 8911 1000; dan Berkunjung ke pejabat HASiL berhampiran,” jelas kenyataan tersebut.
HASiL memandang serius berkenaan isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan (priority) yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh HASiL dalam urusan pentadbiran percukaian.
Oleh yang demikian, HASiL akan terus berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif bagi menangani isu.
