Peniaga perlu patuhi arahan penurunan harga telur ayam

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga agar mematuhi arahan mengenai penurunan harga runcit telur ayam gred A,B dan C, di daerah ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, selain itu mereka diingatkan agar tidak menjual melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.

Katanya, pihaknya mengingatkan peniaga agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu sekali gus mempamerkan secara jelas tanda harga terhadap semua barangan yang dijual.

“Hasil pemeriksaan mendapati pihak peladang menurunkan harga telur ayam gred A, B dan C seperti mana arahan Kerajaan dan bekalannya juga adalah mencukupi.

“Pemeriksaan dijalankan di salah sebuah pasar raya di daerah ini yang telah menerima bekalan telur ayam daripada ladang berkenaan turut mendapati harga yang dijual adalah berdasarkan harga yang ditetapkan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Azdy berkata, harga runcit telur ayam berkuatkuasa pada Isnin lalu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Harga gred A adalah RM0.48 sen sebiji, gred B berharga RM0.47 sen sebiji dan gred C adalah RM0.46 sen sebiji.

“Ini adalah berdasarkan penentuan harga maksimum telur ayam, harga maksimum borong dan runcit barangan harga terkawal bagi kawasan Pantai Timur, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tongod dan Telupid,” jelas Azdy.