KOTA KINABALU : Cuaca panas kebelakangan ini telah memberikan kesan yang signifikan terhadap penggunaan tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meramalkan bahawa penggunaan tenaga elektrik akan tetap tinggi sehingga hari Khamis (28 Mac 2024) ini.
Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ir Adrian Leo Mosigil, berkata pihaknya telah merekodkan penggunaan tenaga elektrik tertinggi pada 26 Mac 2024 iaitu sebanyak 1128 MegaWatt (MW).
Secara kebiasaannya, penggunaan tenaga elektrik akan meningkat kira-kira pada pukul 2 petang sehingga pukul 8 malam sahaja, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, catuan bekalan elektrik terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir kelmarin (26 Mac 2024) di beberapa kawasan seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Semporna, Kinabatangan, Papar, Tuaran, dan Sipitang.
Katanya, catuan bekalan ini berlaku tanpa notis awal disebabkan oleh kerosakan yang tidak dapat dijangkakan pada salah satu set janakuasa milik Stesen Janakuasa Bebas (IPP) di Kimanis yang menyebabkan Sistem Grid Sabah kehilangan 95MW.
Menurutnya, SESB berharap bahawa set janakuasa milik Stesen IPP tersebut akan dapat diperbaiki sebelum waktu beban puncak pada hari ini (27 Mac 2024) bagi memastikan Sistem Grid Sabah mempunyai margin tenaga yang mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna.
