KOTA KINABALU :Sudah terang lagi bersuluh, kenyataan Datuk Albert Tei di Mahkamah Kota Kinabalu, semalam diibaratkan meludah ke langit terkena kepada muka sendiri.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ini apabila beliau membuat pengakuan tidak bersalah ketika membalas pertuduhan pendakwa.
Katanya, ini secara tidak langsung memberi persepsi bahawa pengakuan terbabit sekali gus membawa tafsiran kes berkenaan bukannya sogokan yang mana sebelumnya dicanang seluruh negara.
“Ini berbeza dengan laporan-laporan yang dikemukakan ahli perniagaan terbabit terutamanya di sebuah portal mendakwa bahawa beliau seorang pemberi maklumat dan ada memberikan sogokan wang kepada wakil-wakil rakyat di Sabah.
“Ketika dibacakan pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pagi tadi, kenapa beliau yang sebelum ini berseloroh mengatakan ADUN-ADUN kerajaan Sabah menerima suapan, sogokan wang atas urusan lesen mineral sudah bertukar nada dengan beliau mengaku tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Najib berkata, bukankah beliau secara tidak langsung sebelum ini mendakwa berperanan sebagai pemberi maklumat dan berurusan memberi wang kepada mereka.
“Ini terbukti sehingga keluar video-video tersebut akan tetapi apabila di mahkamah tidak berani mengaku pula.
“Inilah membuktikan beliau ini tidak telus dan penuh konspirasi tertentu sehingga menganggu pentadbiran kerajaan serta menimbulkan persepsi negatif…bagaimana kita mahu percaya lagi dengan cakap-cakap beliau?,” jelas Najib.
Terdahulu, dalam pendakwaan kes melibatkan dua ADUN kerajaan, Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Andi Surady Bandy di mahkamah hari ini menyaksikan perkembangan isu rasuah melibatkan lesen cari gali mineral di negeri ini.
Keseluruhan wang sogokan terbabit berjumlah RM350,000.
Andi dan Dr Yusof berhadapan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16A(a) Akta 2009 SPRM manakala Albert berhadapan dua tuduhan atas memberi sogokan mengikut Seksyen 16b(A) Akta 2009 SPRM.
Najib berkata, sudahlah berkelakuan biadap dengan pemimpin Sabah secara sesuka hati memberi istilah ‘Ikan Bilis’ seolah mencabar keibawaan pihak berkuasa menjalankan siasatan kes itu.
“Ini menunjukkan beliau sangat terdesak mengaitkan nama baik Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mana sebelumnya secara konsisten berkerjasama dengan pihak SPRM dan menghormati siasatan undang-undang merujuk kepada kes tersebut.
“Saya berharap dengan perihal berlaku semalam telah membuka pekung beliau (Albert) yang ternyata suka berbohong dan sesuka hati memetik nama Ketua Menteri sedangkan dalam kejadian di mahkamah, tidak mengaku perbuatannya sebelum ini, “katanya.