KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bahagian DUN Inanam mengesyorkan kerajaan negeri supaya membina ‘jejantas’ yang menghubungkan kawasan rumah kedai Taipan Inanam-Pekan lama Inanam-Bank CIMB Inanam.
Ketua Penyelaras KDM Inanam Datuk George Guntarik berkata pewujudan jejantas itu diyakini bukan sahaja memudahkan orang ramai berurusan di ketiga-tiga kawasan blok kedai tetapi juga mengurangkan kesesakan lalu lintas di pekan Inanam.
Menurutnya, jejantas itu juga diharap dapat membantu meransang dan mengaktifkan lagi kegiatan perniagaan di kawasan tersebut.
“Saya berpeluang mendengar keluhan para peniaga di situ dan juga beberapa pemimpin masyarakat Cina di Inanam, dan antara rayuan mereka ialah mereka mahu kerajaan bina jejantas yang dijangka menyuburkan iklim perniagaan.
“Dalam hal ini, saya selaku ketua penyelaras KDM bertekad berjuang untuk membantu dan merealisasikan impian pengundi DUN Inanam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
George menjelaskan bahawa cadangan membina jejantas di pekan Inanam merupakan antara pelan perancangan KDM untuk DUN Inanam yang menurutnya wajar diberi keutamaan.
Beliau turut menyuarakan permintaan rakyat Inanam agar pihak berkuasa keselamatan dapat menempatkan anggota polis di kawasan bulatan (roundabout) Inanam pada setiap masa puncak hari sekolah iaitu sebelah pagi dan tengahari dan petang bagi menangani kesesakan jalan raya.
“KDM Inanam berharap perkara ini diberi perhatian sewajarnya demi kebaikan bersama,” katanya.