KOTA KINABALU: Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila terus menggunakan strategi lapuk dan penuh penipuan bagi menawan semula kuasa di Sabah.
Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, taktik sama digunakan semasa Pilihan Raya Negeri(PRN) ke-16 kini diulang kembali kononnya mahu “selamatkan Sabah”.
Katanya, ini sedangkan hakikatnya mereka hanya gilakan kuasa dan sanggup menjahanamkan negeri demi kepentingan politik.
“Mereka menyerang Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Kerajaan GRS tanpa henti, meracuni fikiran rakyat dengan fitnah dan persepsi negatif kononnya kerajaan ini gagal.
“Sebenarnya, merekalah petualang sebenar yang mahu menghancurkan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menuduh pembangkang sanggup menggunakan fitnah jahat termasuk melalui aplikasi audio, dan lebih keji lagi, memperalatkan mahasiswa serta anak muda sebagai alat politik murahan.
“Sampai ke tahap sanggup tunggang generasi muda demi kerakusan kuasa. Dosa pahala diketepikan. Ini bukan politik matang, ini politik rakus dan kejam.
“Semua pencapaian Kerajaan GRS dalam pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur langsung tidak diiktiraf, malah diputar belit dengan fakta palsu untuk mengelirukan rakyat,” jelasnya.
Menurutnya, ini adalah taktik ‘Pembohongan Besar’ ala Hitler yang digunakan dalam Perang Dunia Pertama.
“Sama seperti itu, pembangkang hari ini cuba bangkitkan emosi rakyat dengan manipulasi fakta dan pembohongan bersiri.
“GRS merupakan kerajaan paling stabil dan berprestasi tinggi dalam sejarah Sabah moden. Beliau menyifatkan blok politik itu sebagai yang terbaik pernah wujud demi rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau meninggalkan BERSATU dan PN kerana tahu hala tuju mereka tidak lagi untuk Sabah.
“GRS adalah platform sebenar untuk memajukan negeri dan menjaga hak rakyat. Tiada agenda tersembunyi, tiada sandiwara.
“Segala projek di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya sedang berjalan seperti dirancang, dan hasil negeri telah dibelanjakan secara telus dan berfokus demi kepentingan rakyat,” kata Aksyah.
Beliau turut mengecam keras pemimpin pembangkang yang pernah menyokong kerakyatan untuk pendatang tanpa izin (PATI), sesuatu yang disifatkannya sebagai pengkhianatan kepada Sabah.
“Pelik, masih ada anak negeri dari kalangan KDMR sanggup jadi balaci parti yang khianat ini. Sedarlah! Jangan gadai maruah negeri demi jawatan dan kuasa,” jelasnya.