Pemandu positif dadah rempuh tujuh kenderaan ditahan di Tawau

TAWAU : Seorang pemandu kereta disyaki positif dadah ditahan selepas kenderaannya merempuh tujuh kenderaan lain dalam kejadian kemalangan jalan raya di Batu 3, Jalan Apas, Tawau, di semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun terbabit hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, kenderaan MPV serta kereta jenis Produa Bezza sedang parkir dalam kejadian kira-kira jam 5.07 petang.

Katanya, suspek memandu kenderaan jenis Produa Kenari datang dari arah Jalan Apas menghala ke Jalan Kubota gagal mengawal kemudiannya lalu merempuh tiga kenderaan di kawasan parkir di lot tersebut.

“Suspek turut melanggar tiga kenderaan lain termasuk sebuah motosikal berhenti di simpang masuk ke lampu isyarat Jalan Apas.

“Akibat dari itu,  penunggang motosikal mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Besar Tawau sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, hasil ujian awal saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis ketamin.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tular di media sosial rakaman kamera perakam video CCTV memaparkan sebuah kereta merempuh beberapa kenderaan termasuk sebuah motosikal yang sedang parkir di lot parkir dan sedang berhenti di persimpangan jalan,” jelas Jasmin.

Menurutnya, berdasarkan kejadian tersebut, kemalangan itu menyebabkan enam kenderaan mengalami kerosakan teruk manakala sebuah motosikal juga turut mengalami kerosakan akibat dari rempuhan itu.