Pegawai Perubatan kontrak Lahad Datu sertai ‘Black Monday’

LAHAD DATU: Seramai 15 orang Pegawai Perubatan berstatus kontrak berhimpun secara aman sebagai tanda protes terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menuntut jawatan diserapkan ke jawatan tetap, di sini semalam.

Sekumpulan doktor kontrak terbabit berhimpun di Perkarangan Dewan Bersalin Hospital Lahad Datu memakai ‘Baju Hitam’ kemudian disebarkan menerusi media sosal dengan menggunakan slogan “code black” atau Black Monday” .

Difahamkan Pegawai Perubatan Kontrak tersebut mahu pihak KKM menyerap mereka ke jawatan tetap dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun kontrak dua tahun itu hanya disambung dari tahun ke tahun sekali gus mereka turut menerima gaji, elaun serta cuti terhad berbeza dengan doktor tetap.

Lebih menyedihkan, pegawai perubatan kontrak itu juga tidak berpeluang untuk menyambung kepakaran ke tahap lebih tinggi untuk bergelar pakar kerana status kontrak terbabit.

Sehubungan itu pegawai perubatan kontrak terbabit diharap dengan perhimpunan aman yang dilakukan semalam, dapat membuka mata pihak terbabit  agar perjawatan mereka dapat dikaji semula sesuai dengan keperluan serta  kelayakan semasa.

Terdahulu tindakan Doktor Kontrak atau mogok di seluruh negara melibatkan pegawai perubatan kontrak sepatutnya dijadualkan pada 26 Julai ini namun ia tidak sesuai dilakukan memandangkan negara berdepan saat genting ketika ini.

Mogok secara aman itu dikatakan pilihan terakhir kumpulan berkenaan selepas pelbagai cara dilakukan bagi memastikan mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap.