KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti senarai daftar pemilih baharu berikutan lonjakan mendadak pengundi baharu di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pasukan petugas ini melibatkan jentera parti di setiap daerah kerana mereka lebih tahu siapa pengundi berdaftar di kawasan masing-masing.
“Ya, sudah (kita tubuhkan pasukan petugas khas). Kita libatkan jentera parti di peringkat daerah kerana mereka lebih tahu siapa pengundi di kawasan masing-masing. Mereka ini telah tinggal di kawasan mereka sejak berpuluh-puluh tahun jadi mereka sudah tentu tahu penduduk di kawasan masing-masing.
“Jadi, kita akan tunggu laporan daripada mereka, setelah semua penelitian selesai dibuat,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, perkara itu telah dibincang di Kabinet Negeri pada Rabu lalu sekali gus meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penjelasan pada minggu ini.
Beliau berkata, lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah meragukan.
“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang di peringkat Kabinet pada Rabu lalu. Kita minta penjelasan daripada SPR dan Pengarah JPN,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, lonjakan pengundi baharu yang kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.
Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak yang berkenaan,” tegasnya.
Hajiji berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan SPR berhubung lonjakan jumlah pengundi di Sabah selepas perkara itu dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk Presiden STAR Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.