KINABATANGAN : Operasi mencari serta menyelamat (SAR) seorang warga asing pekerja feri dipercayai terjatuh dari Feri mengangkut barang ditangguhkan esok pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Pengusaha Bomba Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa dikenali sebagai Antonius Permisi, 45 tahun dipercayai terjatuh dari Feri mengangkut barang semasa menyeberang Sungai Kinabatangan.
Katanya, operasi SAR dijalankan menggunakan sebuah bot orang kampung serta bot Syarikat Estet Tomanggong menyelusuri sungai dengan radius pencarian sejauh tiga KM di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Setakat ini mangsa masih belum dijumpai. Operasi tadi ditangguhkan pada jam 5.30 petang berikutan faktor cuaca dan akan disambung pada esok pagi.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan mangsa dikhuatiri lemas di sungai Kinabatangan pada jam 1.22 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Azlan Shah berkata, pihaknya memerlukan masa lama sehingga jam 4.40 petang tiba di lokasi kejadian berikutan jarak kira-kira 192 kilometer.
“Operasi kali ini melibatkan empat anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan diketuai Komander Operasi PBKII Jasmani Osni.
“Agensi lain menyertai SAR ini termasuk dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat penduduk kampung serta enam pekerja ladang,” jelas Nur Azlan Shah.