Nelayan dilaporkan hilang ketika memancing di Pulau Dinawan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan seorang nelayan yang dikhuatiri hilang semasa memancing di perairan Pulau Dinawan, Kinarut di sini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata SAR diaktifkan bermula jam 12.00 tengah malam selepas mangsa dilaporkan hilang sekitar jam 10.59 malam kelmarin.

“Maklumat awal mendapati mangsa dilaporkan keluar ke laut berseorangan dengan menaiki bot pam untuk memancing ikan pada jam 2.00 petang.

“Mangsa bagaimanapun dilaporka hilang selepas bot yang dinaiki mangsa ditemukan oleh orang kampung di sekitar Pulau Dinawan sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya usaha mengesan mangsa, Halib Bidin, 33 masih dijalankan melibatkan Bot Kilat 39 milik Maritim Malaysia dibantu agensi lain termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Keluasan pencarian membabitkan kawasan 52 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu katanya Maritim Malaysia juga menasihatkan komuniti maritim agar terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB).

“Maklumkan pergerakan kepada ahli keluarga atau sahabat yang lain berkenaan lokasi dan tujuan kita dilaut.

“Sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi MN Sabah ditalian 088-387774 atau 999 (MERS),” katanya.