KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Arifin Mohd Arif mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Zecon Berhad di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini hari ini.
MoU tersebut mengenai usahasama bagi projek perumahan pelajar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1.3 bilion, akan dibangunkan di tanah milik MUIS seluas 15 ekar bersebelahan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sebanyak 1,610 unit apartmen akan dibina dan mampu menampung sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan.
Pemilikan tanah akan terus kekal dibawah MUIS dengan kaedah konsep pembangunan Build, Lease, Maintain & Transfer (BLMT).
Projek ini bakal menjadi perintis yang menawarkan konsep pembangunan serba moden dan komprehensif, dijangka bermula pada akhir tahun 2025. Lebih 500 hingga 600 peluang pekerjaan akan diwujudkan, meliputi sektor profesional, pentadbiran dan buruh.
Mewakili MUIS menandatangani MoU itu ialah Yang di-Pertuanya, Datuk Seri Yahya Hussin dan Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.
Zecon diwakili Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn.Bhd, Datuk Abdul Kadir Rosline.
