Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara Jun dan Ogos 2018.

Beliau berkata, pernyataan dibuat bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini adalah tidak benar.

“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya beliau telah menerima sogokon wang tunai, sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini. Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.

“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini,” katanya.