Mayat Lelaki cuba selamatkan anak dalam kereta ditemukan lemas

PUTATAN: Mayat seorang  lelaki dilaporkan hanyut selepas cuba menyelamatkan anak lelakinya terjatuh bersama kereta miliknya di Sungai Imbahan sini, ditemui pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa dikenali sebagai Lasibi Lawahidu, 40, ditemui jam 9.15 pagi selepas hampir 16 jam hilang.

Katanya, mayat mangsa di temui

pasukan penyelamat dengan menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi pencarian hari kedua hari ini bermula jam 6 pagi selepas ditangguh jam 12.30 tengah malam tadi.

“Operasi disertai PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah; PGU, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

“Alhamdulillah, pada jam 9.15 pagi tadi, pasukan penyelamat SAR berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung dengan jarak 300 meter dari lokasi di mana mangsa dilihat tenggelam ketika menyelamatkan anaknya, semalam” katanya di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa di hantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Terdahulu, dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam sungai.

Mangsa yang berada di tebing dan sedang memancing bertindak terjun untuk menyelamatkan anaknya. Mangsa berjaya mengeluarkan anaknya daripada kereta sebelum dibantu oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

Mangsa bagaimanapun tiba-tiba hilang, dipercayai tenggelam.